Showing posts with label hmetro. Show all posts
Showing posts with label hmetro. Show all posts

Sunday, November 21, 2010

Tangguh pertunangan

KUALA LUMPUR: Menyedihkan apabila pelajar kolej kejururawatan, Nurzilawati Hussin, 20, yang melecur teruk akibat kejadian bas RapidKL terbakar Khamis lalu, terpaksa melupakan hasrat untuk melangsungkan pertunangannya Januari depan.

Mangsa yang sepatutnya menamatkan pengajian tidak lama lagi dikatakan merancang mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Ridzuan Jusoh, 23, selepas lebih dua tahun berkenalan.

Kekasih mangsa yang ditemui di luar wad kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, dia hanya mengetahui tragedi mengerikan yang menimpa kekasihnya selepas dihubungi rakan mangsa.

Dia yang bekerja di Terengganu mendakwa segera bergegas datang ke HKL untuk melihat keadaan kekasihnya yang didapati melecur teruk dari bahagian pinggang hingga ke jari kaki.

“Keadaannya menyayat hati. Kedua-dua belah kakinya berbalut sehingga ke bahagian punggung. Doktor memberitahu, kesan melecur terbabit sungguh serius dan memerlukan masa sehingga dua bulan untuk sembuh sepenuhnya.

“Namun, dia mungkin memerlukan masa lebih lama untuk penuh sepenuhnya, apatah lagi kesan melecur terbabit turut akan menyebabkan kesan parut kekal,” katanya sedih.

Menurutnya, rancangan melangsungkan majlis pertunangan berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana Nurzilawati cedera teruk.

“Dia hanya mampu terbaring dan menahan sakit. Paling merunsingkan apabila dia tidak dapat menduduki peperiksaan semester dua minggu lagi,” katanya.

Nurzilawati yang ditemui di HKL berkata, dia terpaksa menjalani pembedahan dan mungkin mengalami beberapa kecacatan kekal pada bahagian bawah kaki.

“Tindakan undang-undang mungkin diambil bukan sebagai ganti rugi kesakitan yang saya alami kerana rawatan yang dilakukan juga menyakitkan.

“Malah, saya juga berharap ia menjadi pengajaran dan supaya pihak lain juga bertanggungjawab terhadap perkhidmatan yang mereka sediakan,” katanya.

Dua lagi mangsa ialah Nadia Husna Arshad, 20, dan Nur Aisyah Abd Samad, 20.

“Kecederaan dialami Nurzilawati dan Nadia sungguh menyedihkan. Bayaran kos perubatan dan pampasan saja tidak memadai,” kata Aisyah yang ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ketika mengunjungi Nadia, semalam.

Bagaimanapun, Nadia yang masih mendapat rawatan di PPUM berharap pihak syarikat bas mengotakan janji untuk menanggung segala kos perubatan.

Menurutnya, kos perubatan terlalu tinggi untuk merawat kecederaan melecur dialaminya sehingga mencecah RM300 sehari, iaitu kos membeli sejenis ubat berbentuk krim.

“Sepatutnya, semalam (kelmarin) saya menggunakan ubat berkenaan, namun difahamkan bekalan ubat terbabit belum diperoleh.

“Jika saya mula menggunakan krim itu untuk rawatan selanjutnya, saya sudah boleh keluar wad dan balik ke rumah. Masalahnya, penggunaan krim perlu dilakukan secara konsisten dan kos pula terlalu tinggi (RM300 sehari) buat saya dan keluarga,” katanya.

Semalam, Nadia yang ditemani Aisyah di Wad Surgeri PPUM dikunjungi keluarga dan sanak saudara terutamanya ibu Nadia, Siti Asar Talib, 59, abangnya, Roslan, 40, dan Rosnizam, 30.

Rosnizam berkata, dia dan ahli keluarga lain berharap adiknya cepat pulih dan mahukan pihak RapidKL mengotakan janji mereka.

“Bagi kami, adik cepat pulih dan dapat meneruskan pengajiannya seperti biasa,” katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan tiga pelajar kolej kejururawatan cedera, dua daripadanya melecur teruk, selepas enjin bas dinaiki tiba-tiba meletup, menyebabkan mereka terjatuh ke bahagian enjin yang terbakar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tangguhpertunangan/Article/index_html

Ibrahim perlu bantuan

BEKAS jurulatih Melaka era 1980-an, Ibrahim Sotin kini menderita kerana penyakit kencing manis kronik hingga memaksanya memohon bantuan bagi menampung kos perubatan dan keperluan hariannya.

Rakan seperjuangan yang juga bekas pembimbing skuad Melaka, Sanusi Baba berkata, sukar digambarkan kehidupan dan penderitaan Ibrahim dan kini merancang meringankan beban rakannya itu.

“Saya ada berkunjung ke rumah Ibrahim baru-baru ini dan terkejut dengan kesihatan dan penderitaan yang dialami bekas jurulatih yang pernah menyumbang kudrat dan tenaga buat pasukan Hang Tuah,” katanya.

Oleh itu katanya, bagi meringankan beban beliau, pertemuan dengan bekas jurulatih Melaka dan anak didik beliau diadakan untuk merancang mengumpul dana.

Selepas mengadakan perbincangan, Pengarah Kejurulatihan Melaka, Richard Sinappa merancang mengadakan perlawanan amal dalam tempoh terdekat untuk mengumpul dana buat Ibrahim selain memohon bantuan daripada sumber lain.

Satu perlawanan amal membabitkan bekas pemain Melaka diketuai Datuk Soh Chin Aun selain Hashim Marman, Sapian Wahid, Mohd Noor Derus, Norizam Ali Hassan, Zainal Rabin, Ramli Junit, Mahathir Taha, Mazlan Wahid, Samsurin Abdul Rahman, Wong Kou Fou, Rahim Abdullah, Azmi Hasan dan G Torairaju sedang diusahakan.

Katanya, semua bekas pemain Melaka dijemput menyertai perlawanan itu untuk mengumpul dana Ibrahim yang kini agak kritikal.

“Kami harap perlawanan ini kesempatan terbaik menghimpun bekas pemain untuk menghargai pengorbanannya selama ini dalam usaha menobatkan kejayaan Melaka di Liga Malaysia.

“Saya yakin bekas pemain Melaka akan menyertai perlawanan ini dan mereka yang berminat boleh menghubungi saya di talian 016-3120894 atau Hamzah Ahmad 013-6313389 untuk maklumat lanjut,” kata Sanusi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibrahimperlubantuan/Article/index_html

Thursday, November 18, 2010

'Nak abah, nak mama'

IPOH: “Nak abah, nak mama,” itu perkataan diucapkan berulang kali oleh Fatiha Shaiful Fadzilah, 4, yang terselamat dalam nahas ngeri mengorbankan ibu dan bapa serta dua abang kembarnya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam di Kilometer (KM) 377.6 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, berdekatan Slim River itu, empat beranak terbabit maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Iswara yang mereka naiki dirempuh sebuah treler dari belakang.

Mereka yang terbunuh ialah Shaiful Fadzilah Shahar, 36, isterinya, Siti Suzana Mohd Noor, 33, dan anak kembar mereka, Fitri dan Fikri berusia enam tahun manakala dua lagi anak mereka iaitu Firdaus, 8, dan Fatiha, cedera.

Ibu saudara Fatiha yang juga adik bongsu Shaiful Fadzilah, Nor Azizah Shahar, 23, ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam berkata, Fatiha ditempatkan di Wad Kebakaran hospital itu pada awal pagi semalam bagi rawatan susulan akibat kecederaan serta melecur di tangan kiri.

Nor Azizah berkata, abangnya tidak merancang pulang ke kampung sebelum ini, namun mengubah keputusan itu dan memaklumkan kepada keluarga di Kampung Gua Badak, Lenggong dari rumah mereka di Taman Ekamatahari, Labu, Seremban, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

“Sebelum ini, arwah pernah memaklumkan dia sekeluarga tak jadi balik berikutan kekangan kerja, namun mengubah keputusan itu pada saat akhir.

“Dia memaklumkan kepada kami sebelum bertolak pulang ke kampung. Bagaimanapun, selepas menunggu sehingga jam 2 pagi, tapi mereka belum tiba membuatkan kami sekeluarga curiga,” katanya.

Nor Azizah menghubungi Shaiful Fadzilah kira-kira jam 4 pagi untuk mengetahui keadaan mereka sekeluarga, namun tiada jawapan sebelum dihubungi polis lima minit kemudian memaklumkan arwah sekeluarga terbabit kemalangan ngeri menyebabkan dia bergegas ke Hospital Slim River.

Menurutnya, arwah abangnya ada merancang mengkhatankan anak kembarnya itu di kampung memandangkan ketika ini musim cuti sekolah selain menyambut Aidiladha.

“Kali terakhir saya menemui mereka sekeluarga pada Aidilfitri lalu,” katanya sebak.

Sementara itu, tinjauan di HRPB mendapati Fatiha masih menerima rawatan di hospital berkenaan dan dia kerap kali meracau serta menangis sambil memanggil ibu dan bapanya.

Kanak-kanak malang itu belum dimaklumkan kematian ibu dan bapa serta abang kembarnya.

Abang sulung Fatiha, Firdaus pula masih dirawat di Hospital Slim River kerana cedera di kaki manakala keempat-empat ahli keluarganya yang meninggal dunia dalam nahas itu dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum jenazah mereka dituntut ahli keluarga, petang semalam.

Semua jenazah empat beranak itu dikebumikan di kampung kelahiran Shaiful Fadzilah di Kampung Gua Badak, Lenggong, petang semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nakabah_nakmama/Article/index_html

Mati ditolak kekasih

GEORGETOWN: Hanya kerana cinta ditolak, seorang penjual surat khabar warga India menolak kekasihnya dari motosikal menyebabkan wanita Indonesia berusia 30-an itu terbunuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi Selasa lalu, suspek berusia 30-an bersama kekasihnya yang dikenali sebagai Atika memberhentikan motosikal di hadapan rumah mangsa di Jalan Pahang.

Ketika itu, suspek bersama kekasihnya yang bekerja sebagai pembantu rumah berselisih faham dan mula bertengkar.

Selepas beberapa ketika, pertengkaran antara mereka menjadi semakin tegang terutama apabila Atika menyatakan niat untuk memutuskan perhubungan mereka dan akibatnya, wanita itu yang masih duduk di atas motosikal ditolak suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Wan Abdullah Tuanku Said, berkata Atika terjatuh dan mengalami kecederaan serius di kepala, manakala suspek yang ketakutan meninggalkan mangsa.

Menurutnya, orang awam membawa mangsa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Matiditolakkekasih/Article

Tuesday, November 16, 2010

Kakitangan bank mati kereta langgar tembok

GOMBAK: Seorang kakitangan sebuah bank maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar tembok konkrit di Kilometer 16.1 Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Taman Melati, di sini, pagi semalam.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan mangsa parah di kepala selepas kereta Proton Satria dipandu terbalik beberapa kali sebelum terperosok berhampiran penghadang tengah jalan raya itu.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa memandu bersendirian dari Gombak menuju Ampang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tembok pembahagi jalan. Kejadian itu menyebabkan kedua-dua gandar hadapannya patah sebelum kereta terbabit terbaik beberapa kali.

“Kereta itu yang berpusing dan terseret sejauh hampir 50 meter berhenti melintang di lorong kanan jalan,” katanya.

Menurutnya, satu jentera bomba dari Balai Bomba Taman Melati, di sini, mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk hadapan.

“Berdasarkan pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa, mangsa dikenali sebagai Mohd Ammar Mohd Azam, 22, berasal dari Kuantan, Pahang.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian kemalangan itu diminta menghubungi talian Rakan Cop 03-2115 9999,” katanya.

Buru 2 peragut

KUALA LUMPUR: Polis masih memburu dua peragut yang bertindak kejam merodok pinggang dan belakang seorang gadis dengan pisau selepas gadis terbabit cuba mempertahankan beg tangannya daripada dirampas.

Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid, berkata setakat ini belum ada tangkapan dibuat kerana pihaknya mengalami kesukaran dalam mengenal pasti suspek berikutan belum ada maklumat tepat.

Menurutnya, mangsa Tsu Ai Ling, 19, dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan keterangannya sudah diambil, namun mangsa tidak dapat mengenal pasti suspek kerana kedua-dua mereka memakai topi keledar.

“Ketika ini, kami belum dapat kesan suspek kerana mangsa dan rakan yang turut bersamanya ketika kejadian tidak dapat mengecam wajah atau nombor pendaftaran motosikal ditunggangi suspek kerana kejadian berlaku begitu pantas serta mereka memakai topi keledar,” katanya yang dihubungi di sini, semalam.

Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan seorang gadis kritikal selepas dirodok empat kali dengan pisau ketika dia cuba mempertahankan beg tangannya daripada diragut dua lelaki bermotosikal ketika berjalan bersama rakannya di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Buru2peragut/Article/index_html