Tuesday, November 16, 2010

Kakitangan bank mati kereta langgar tembok

GOMBAK: Seorang kakitangan sebuah bank maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar tembok konkrit di Kilometer 16.1 Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Taman Melati, di sini, pagi semalam.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan mangsa parah di kepala selepas kereta Proton Satria dipandu terbalik beberapa kali sebelum terperosok berhampiran penghadang tengah jalan raya itu.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa memandu bersendirian dari Gombak menuju Ampang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tembok pembahagi jalan. Kejadian itu menyebabkan kedua-dua gandar hadapannya patah sebelum kereta terbabit terbaik beberapa kali.

“Kereta itu yang berpusing dan terseret sejauh hampir 50 meter berhenti melintang di lorong kanan jalan,” katanya.

Menurutnya, satu jentera bomba dari Balai Bomba Taman Melati, di sini, mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk hadapan.

“Berdasarkan pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa, mangsa dikenali sebagai Mohd Ammar Mohd Azam, 22, berasal dari Kuantan, Pahang.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian kemalangan itu diminta menghubungi talian Rakan Cop 03-2115 9999,” katanya.

No comments:

Post a Comment