Sunday, November 21, 2010

Tangguh pertunangan

KUALA LUMPUR: Menyedihkan apabila pelajar kolej kejururawatan, Nurzilawati Hussin, 20, yang melecur teruk akibat kejadian bas RapidKL terbakar Khamis lalu, terpaksa melupakan hasrat untuk melangsungkan pertunangannya Januari depan.

Mangsa yang sepatutnya menamatkan pengajian tidak lama lagi dikatakan merancang mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya, Ridzuan Jusoh, 23, selepas lebih dua tahun berkenalan.

Kekasih mangsa yang ditemui di luar wad kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, dia hanya mengetahui tragedi mengerikan yang menimpa kekasihnya selepas dihubungi rakan mangsa.

Dia yang bekerja di Terengganu mendakwa segera bergegas datang ke HKL untuk melihat keadaan kekasihnya yang didapati melecur teruk dari bahagian pinggang hingga ke jari kaki.

“Keadaannya menyayat hati. Kedua-dua belah kakinya berbalut sehingga ke bahagian punggung. Doktor memberitahu, kesan melecur terbabit sungguh serius dan memerlukan masa sehingga dua bulan untuk sembuh sepenuhnya.

“Namun, dia mungkin memerlukan masa lebih lama untuk penuh sepenuhnya, apatah lagi kesan melecur terbabit turut akan menyebabkan kesan parut kekal,” katanya sedih.

Menurutnya, rancangan melangsungkan majlis pertunangan berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana Nurzilawati cedera teruk.

“Dia hanya mampu terbaring dan menahan sakit. Paling merunsingkan apabila dia tidak dapat menduduki peperiksaan semester dua minggu lagi,” katanya.

Nurzilawati yang ditemui di HKL berkata, dia terpaksa menjalani pembedahan dan mungkin mengalami beberapa kecacatan kekal pada bahagian bawah kaki.

“Tindakan undang-undang mungkin diambil bukan sebagai ganti rugi kesakitan yang saya alami kerana rawatan yang dilakukan juga menyakitkan.

“Malah, saya juga berharap ia menjadi pengajaran dan supaya pihak lain juga bertanggungjawab terhadap perkhidmatan yang mereka sediakan,” katanya.

Dua lagi mangsa ialah Nadia Husna Arshad, 20, dan Nur Aisyah Abd Samad, 20.

“Kecederaan dialami Nurzilawati dan Nadia sungguh menyedihkan. Bayaran kos perubatan dan pampasan saja tidak memadai,” kata Aisyah yang ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ketika mengunjungi Nadia, semalam.

Bagaimanapun, Nadia yang masih mendapat rawatan di PPUM berharap pihak syarikat bas mengotakan janji untuk menanggung segala kos perubatan.

Menurutnya, kos perubatan terlalu tinggi untuk merawat kecederaan melecur dialaminya sehingga mencecah RM300 sehari, iaitu kos membeli sejenis ubat berbentuk krim.

“Sepatutnya, semalam (kelmarin) saya menggunakan ubat berkenaan, namun difahamkan bekalan ubat terbabit belum diperoleh.

“Jika saya mula menggunakan krim itu untuk rawatan selanjutnya, saya sudah boleh keluar wad dan balik ke rumah. Masalahnya, penggunaan krim perlu dilakukan secara konsisten dan kos pula terlalu tinggi (RM300 sehari) buat saya dan keluarga,” katanya.

Semalam, Nadia yang ditemani Aisyah di Wad Surgeri PPUM dikunjungi keluarga dan sanak saudara terutamanya ibu Nadia, Siti Asar Talib, 59, abangnya, Roslan, 40, dan Rosnizam, 30.

Rosnizam berkata, dia dan ahli keluarga lain berharap adiknya cepat pulih dan mahukan pihak RapidKL mengotakan janji mereka.

“Bagi kami, adik cepat pulih dan dapat meneruskan pengajiannya seperti biasa,” katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan tiga pelajar kolej kejururawatan cedera, dua daripadanya melecur teruk, selepas enjin bas dinaiki tiba-tiba meletup, menyebabkan mereka terjatuh ke bahagian enjin yang terbakar.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tangguhpertunangan/Article/index_html

No comments:

Post a Comment