Sunday, November 21, 2010

Dua kematian akibat denggi di Sabah hari ini - Menteri Kesihatan

KUALA LUMPUR: Dua kematian terbaru akibat denggi dilaporkan di Sabah hari ini, masing-masing satu kes di Tawau dan Sandakan dan menjadikan jumlah meningkat kepada 125 kematian akibat denggi sejak Januari tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi butiran lanjut mengenai dua kes kematian itu. Beliau meminta semua pengamal perubatan mengambil perhatian terhadap pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik atau hospital sekiranya mereka menunjukkan simptom-simptom awal penyakit itu kerana kes denggi di negara semakin serius.

"Semua doktor dan pengamal perubatan di klinik dan hospital tidak seharusnya mengambil mudah dan bertindak lewat dalam mengambil tindakan dalam memberi rawatan kepada pesakit yang disyaki mengalami simptom awal denggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan "Persidangan Penyakit Berjangkit 2010: Isu-isu dan Cabaran" anjuran bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Kementerian Kesihatan yang berlangsung di sini, hari ini.

Dalam usaha menangani kes denggi dengan berkesan, Liow meminta semua pengamal perubatan merujuk kepada garis panduan klinikal mengenai denggi di laman web kementerian di www.moh.gov.my, katanya.

Beliau berkata pengamal perubatan perlu mengesan penyakit denggi pada peringkat awal agar dapat mengurangkan jumlah kes denggi yang semakin meningkat sekarang.

"Jika dibandingkan kes kematian pada masa lalu, pesakit denggi yang kritikal meninggal dunia pada tempoh satu minggu dan ke atas tetapi ia berbeza sekarang apabila seseorang pesakit boleh meninggal dalam tempoh kurang dari tempoh satu minggu," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini tiada ubat atau vaksin khusus untuk penyakit denggi, maka ia adalah sangat penting pesakit yang disyaki mengalami penyakit itu mendapat rawatan pada peringkat awal agar ia tidak menjadi serius.

Katanya, antara Petunjuk Utama Pencapaian (KPI) kementerian adalah untuk menurunkan kes denggi di seluruh negara, sekurang-kurangnya pada kadar 10 peratus pada setiap tahun.

Selain itu, Liow juga meminta orang ramai tidak mengambil mudah masalah denggi dan memberikan kerjasama dengan kementerian dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan diri, kebersihan premis makanan dan kediaman yang disarankan kementerian.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, Selangor adalah negeri yang mencatatkan kes denggi tertinggi di negara iaitu sebanyak 15,323 kes dengan kematian berjumlah 43 orang sehingga Jumaat lalu.-Bernama

No comments:

Post a Comment