Sunday, November 28, 2010
Hospital swasta hanya kaut untung 10 peratus
KUALA LUMPUR: Hospital swasta hanya memperoleh keuntungan 10 peratus daripada kos yang dikenakan kepada setiap pesakit berdasarkan jenis rawatan, manakala selebihnya digunakan untuk membiayai kos ubat-ubatan, peralatan, tenaga pakar dan penyelenggaraan kemudahan.
Seorang pegawai kanan sebuah pusat pakar perubatan yang enggan namanya disiarkan memberitahu, caj tinggi yang dikenakan hospital swasta dianggap berbaloi kerana mutu perkhidmatan dan kemudahan rawatan disediakan adalah terbaik, bersesuaian dengan kos perlu dibayar pesakit.
Selain itu, hospital swasta juga tidak mendapat bantuan kerajaan sebaliknya beroperasi melalui hasil pelaburan dan pinjaman daripada bank bagi mengimbangi keperluan perubatan rakyat. “Bidang perubatan kini menjadi satu cabang perniagaan. Bagi mendapatkan rawatan terbaik dengan kemudahan selesa dan dirawat menggunakan peralatan perubatan berteknologi tinggi, pesakit perlu bayar lebih.
“Keadaan ini menyebabkan rakyat beranggapan hospital swasta mengaut keuntungan lebih tetapi ia sebenarnya tidak kerana pihak hospital juga perlu membayar lebih untuk kos penyelenggaraan peralatan rawatan, pinjaman bank dan kos tenaga kerja yang semakin meningkat setiap tahun,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, caj rawatan setiap hospital swasta berbeza mengikut jenis rawatan, kepakaran dan kemudahan yang tawarkan selain menepati garis panduan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“Wujud perbezaan dari segi caj rawatan hospital swasta kerana tidak semua menggunakan peralatan, kemudahan, tenaga pakar dan premis sama. Walaupun caj tinggi, pesakit masih mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan pengurusan hospital, ”katanya.
Katanya, banyak hospital swasta akan gulung tikar ekoran terpaksa menanggung beban pembiayaan kewangan tinggi sekiranya kerajaan melaksanakan cadangan mengkaji kos rawatan yang dikenakan ke atas pesakit yang jauh lebih rendah berbanding kos semasa.
“Kita tidak boleh bandingkan perkhidmatan atau kos yang perlu dibayar pelanggan di hospital kerajaan dengan swasta tetapi kita boleh samakan konsepnya dengan harga secawan kopi di warung dengan restoran terkemuka,” katanya.
/bharian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment